Maaf, Sedang Dikemaskini Terdapat Beberapa Artikel Yang Mengalami Masaalah Teknikal

Harap Maklum....

Tuntutan Ganti Rugi Terhadap Pesalah Motosikal Yang Tidak Mempunyai Insuran


Bayangkan anda sedang memandu dengan tenang di jalan raya, tiba-tiba sebuah motosikal meluru keluar tanpa memberi isyarat lalu melanggar kenderaan anda. 

Setelah keadaan reda dan laporan polis telah dibuat, barulah anda mendapat tahu bahawa penunggang motosikal tersebut Tidak Mempunyai Insurans. Pada saat itu, soalan besar mula bermain di fikiran :

 “Siapa akan menanggung kerugian saya ?”

Ramai yang mungkin menganggap keadaan ini membawa jalan buntu, kerana tanpa insurans, tiada syarikat yang boleh dipertanggungjawabkan untuk membayar ganti rugi. 

Namun, hakikatnya undang-undang di Malaysia tetap menyediakan ruang untuk mangsa kemalangan menuntut hak mereka.

Di Malaysia, Akta Pengangkutan Jalan 1987 mewajibkan setiap kenderaan bermotor mempunyai insurans pihak ketiga minimum.

Jika penunggang tidak memiliki insurans, mereka telah melanggar undang-undang dan boleh dikenakan tindakan jenayah/kompaun oleh JPJ atau pihak polis.

Mangsa kemalangan mempunyai beberapa saluran untuk menuntut kos ganti rugi jika penunggang tidak memiliki insuran pihak ketiga dan gagal membuat tuntutan terus atau melarikan diri selepas kemalangan.


Saman Sivil

Pertama sekali, setiap mangsa kemalangan berhak untuk menuntut ganti rugi terus daripada pesalah melalui Saman Sivil di Mahkamah Tuntutan Kecil RM 5,000 kebawah dengan mengisi Borang 198Writ Tuntutan Kecil”.

Dalam tuntutan ini, mangsa boleh menuntut kos rawatan hospital, kerosakan kenderaan, kehilangan pendapatan akibat tidak dapat bekerja, malah pampasan bagi kecederaan kekal jika ada. 

Kes sivil berkaitan kemalangan, tidak termasuk kes jenayah seperti kemalangan maut yang dikendalikan oleh pihak pendakwa raya. 


Kes sivil berbeza daripada kes jenayah. Dalam kes jenayah, pihak yang bertanggungjawab boleh didakwa di mahkamah dan dihukum penjara atau denda oleh kerajaan, manakala dalam kes sivil, ia adalah satu tuntutan peribadi antara dua pihak.

Mahkamah bagi tuntutan kecil ini diwujudkan bagi membicarakan kes di mana hanya pihak menuntut dan pihak kena tuntut sahaja yang terlibat tanpa menggunakan peguam bagi tujuan mengurangkan kos guaman yang ditanggung oleh pihak-pihak yang terlibat.

Langkah Praktikal Mangsa

  • Buat laporan polis segera selepas berlaku kemalangan

  • Ambil gambar kawasan kemalangan, gambar kerosakan pada kereta, jika kemalangan berlaku di kawasan tertentu seperti kawasan dilarang memotong, kawasan masuk simpang, ada bonggol jalan, petak kuning dan lain-lain termasuk bukti rakaman dashcam sila sertakan semasa laporan polis di buat.

  • Pastikan motorsikal adalah di pihak yang SALAH, sila dapatkan repot kes dari balai polis yang menunjukkan motorsikal bersalah, termasuk saman tiada lesen, saman tiada cukai jalan dan laporan yang menyatakan motorsikal tidak mempunyai insuran.

Barulah anda boleh melakukan tuntutan ganti rugi melalui saman sivil bersama semua bukti yang sedia ada.

Jenis Ganti Rugi Yang Boleh Dituntut

  • Kos rawatan hospital & ubat
  • Kehilangan pendapatan / upah kerja
  • Kerosakan kenderaan
  • Pampasan untuk kecederaan kekal (jika ada)
  • Pampasan kematian (jika mangsa meninggal dunia – waris boleh tuntut)


Motor Insurers’ Bureau of West Malaysia (MIB)


Di sinilah wujudnya satu badan khas yang ramai tidak tahu Motor Insurers’ Bureau of West Malaysia (MIB)

MIB ditubuhkan untuk melindungi orang ramai yang menjadi mangsa kemalangan akibat pemandu atau penunggang tanpa insurans ataupun pemandu yang melarikan diri selepas kemalangan. 

Melalui MIB, mangsa boleh mengemukakan tuntutan dengan menyediakan dokumen penting seperti laporan polis, bukti perubatan, serta rekod kerugian. 

Walaupun prosesnya mengambil masa kerana perlu disiasat dengan teliti, inilah jalan terbaik bagi memastikan hak mangsa terbela.

Selain itu, bagi mereka yang mempunyai insurans kenderaan jenis comprehensive, tuntutan boleh dibuat melalui syarikat insurans sendiri terlebih dahulu.

Syarikat insurans kemudiannya mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pesalah bagi menuntut kembali wang yang telah dibayar. Ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mangsa tanpa perlu menunggu lama.



P/s ; Kenapa aq buat artikel ni ?

Gambar di atas ni menunjukkan kereta min baru-baru ni dilanggar oleh sebuah motorsikal dari arah belakang, mengakibatkan cermin sisi kereta pecah dan calar serta kemek di bahagian badan kereta.

Seawalnya kami berdua 'deal' mau bayar dan tangung bersama kos kerosakan, namun keesokan harinya penunggang tersebut gagal dihubungi dan lesap tanpa sebarang berita.

Jadi min pun pergilah meminta nasihat peguam dan akhirnya disarankan untuk buat tuntutan ke Mahkamah Tuntutan Kecil memandangkan pihak polis telah pun mengeluarkan laporan penuh kes bersama saman kerana tidak memiliki lesen dan motorsikal tersebut terbukti bersalah melalui rakaman 'dashcam'.

Benda ni korang hanya perlu isi borang, tidak perlu peguam, kos pun x sampai Rm 100.00, duit ni nanti boleh discharge kepada pihak defendan, cuma jujur min cakap ia akan mengambil masa, tapi berbaloilah daripada 'zero' tidak dapat apa-apa pampasan. Buat 'slow-slow'...

Kerana itulah min tergerak hati untuk buat artikel ni bagi membantu sesiapa di luar sana yang mempunyai masaalah yang sama.

Apa yang penting, setiap pemandu dan penunggang perlu sedar bahawa memiliki insurans bukan sekadar syarat undang-undang, tetapi merupakan sebuah tanggungjawab sosial. Insurans berfungsi sebagai perlindungan bukan sahaja untuk diri sendiri, malah untuk orang lain yang mungkin menjadi mangsa dalam sesuatu kemalangan. Malangnya, masih ada yang memandang ringan perkara ini dan akhirnya menyusahkan diri sendiri serta orang lain.

Kesimpulannya, meskipun kemalangan dengan penunggang motosikal tanpa insurans tampak rumit, ia bukanlah jalan mati. Melalui saluran undang-undang dan kewujudan MIB, mangsa tetap mempunyai peluang menuntut keadilan. Yang penting, jangan berdiam diri – buat laporan polis, simpan segala bukti, dan ketahui saluran yang betul. Ingatlah, hak anda sebagai mangsa tetap terpelihara walau seberat mana sekalipun cabarannya.

Kepada mereka yang tetap degil untuk membayar walaupun sudah mendapat perintah mahkamah sila ambil maklum perkara di bawah...

Sekiranya Defendan @ pesalah gagal untuk melaksanakan pembayaran atau apa-apa perintah yang dibenarkan oleh Mahkamah kepada Plaintif, maka Plaintif boleh memohon kepada Mahkamah supaya Defendan membayar secara ansuran, atau hartanya disita/dijual atau memerintahkan Defendan untuk dipenjarakan.

Semoga membantu dan bermanfaat, kalau ada pertanyaan boleh komen di ruang disediakan...sekian

Post a Comment

Terbaru Lebih lama