Acara berprestij ini dianjurkan oleh Koperasi Pelancongan North Borneo Semporna Berhad dengan kerjasama Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), sekali gus menobatkan Semporna sebagai destinasi persinggahan utama bagi pelancong maritim dari seluruh dunia.
Menurut Pengerusi Koperasi Pelancongan North Borneo Semporna Berhad, Kerino Jelani, program ini bukan sahaja memperkenalkan panorama laut biru dan gugusan pulau Semporna yang memukau, malah turut memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat.
“Lebih membanggakan, ANGKASA juga memperkenalkan pakej tiga hari dua malam yang mengetengahkan konsep pemuliharaan laut dan pelancongan berasaskan komuniti (CBT Tourism), dengan kerjasama strategik One Ocean Empire PLT,” katanya penuh teruja.
Penganjuran kali ini turut disemarakkan dengan pameran serta jualan eksklusif Batik Sabah hasil sentuhan kreatif pereka fesyen terkenal, Yuslan Jafri, yang dikhususkan untuk komuniti pelayar antarabangsa Sail Malaysia.
Kerino turut merakamkan penghargaan kepada Managing Director Sail Malaysia, Sazli Kamal Basha, atas pengurusan program yang lancar, selain mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Tengku Dr Zainal Adlin Tengku Mahamood kerana memperkenalkan Sail Malaysia kepada koperasi tersebut.
“Penganjuran ini membuktikan kerjasama koperasi mampu mengangkat Semporna ke tahap baharu sebagai destinasi pelancongan maritim unggul dunia. Dalam masa sama, ia meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan pemuliharaan marin dan pelancongan lestari,” katanya lagi.
Kini memasuki edisi ke-18, Sail Malaysia terus menjadi jambatan yang menghubungkan komuniti pelayar antarabangsa dengan keunikan budaya, keindahan laut, serta keramahan masyarakat tempatan menjadikan Semporna bukan sekadar persinggahan, tetapi pengalaman yang tiada tandingan.