Benarkah Semporna Tiada Monsun ? Ini Jawapannya


Pernah terfikir, betulkah Semporna tidak pernah dan tiada monsun ?

Jawapannya adalah tidak benar, Semporna sebenarnya memang ada pengaruh monsun cuma biasanya lebih 'ringan' berbanding Pantai Barat Sabah dan ada masa tertentu laut nampak lebih tenang.

Tapi kenapa selalu orang kata bahawa Semporna tidak mempunyai monsun ?

Antara sebabnya adalah kerana Semporna terletak di Pantai Timur Sabah dan sebahagiannya 'terlindung' oleh bentuk muka bumi serta pulau-pulau di sekeliling. 

Jadi kadang-kadang angin tidak sekuat kawasan lain, ombak tidak setinggi tempat yang lebih terbuka, dan cuaca boleh jadi cepat berubah (sekejap panas, sekejap hujan) tapi itu bukan bermaksud tiada monsun.



Pertama sekali, kita perlu faham perbezaan antara 'Monsun' dan 'Tengkujuh'. Jadi, benarkah Semporna tidak mempunyai monsun?

Secara umumnya, perubahan angin bermusim biasanya berlaku sekitar bulan November hingga Mac. Monsun merujuk kepada perubahan arah angin yang berlaku secara bermusim dan melibatkan kawasan yang luas di seluruh dunia. Manakala tengkujuh pula ialah keadaan hujan lebat yang berterusan dalam tempoh yang panjang di sesuatu kawasan.

Tengkujuh ini selalunya berkait rapat dengan monsun, seperti yang sering berlaku di Pantai Timur Semenanjung Malaysia (contohnya Kelantan dan Terengganu) serta Pantai Barat Sabah (seperti Kota Kinabalu). Fenomena ini berlaku hampir setiap tahun dan boleh menyebabkan ribut, hujan berpanjangan serta banjir antara November hingga Mac, sekali gus memberi kesan besar kepada sektor pelancongan.

Sebagai contoh, destinasi seperti Pulau Redang dan Pulau Perhentian terpaksa ditutup sementara pada musim ini demi memastikan keselamatan pengunjung kerana keadaan laut yang tidak menentu dan berbahaya.



Oleh itu secara amnya Semporna yang terletak di Pantai Timur Sabah tetap menerima pengaruh Monsun, namun kesannya di kawasan ini biasanya lebih ringan berbanding beberapa lokasi lain di Malaysia.

Berbeza dengan pantai timur Semenanjung Malaysia, Semporna tidak mengalami musim tengkujuh yang begitu ketara. Walaupun hujan masih berlaku dan ada waktu tertentu laut menjadi sedikit bergelora, Semporna jarang berdepan banjir besar atau ribut yang teruk.

Selain itu, Semporna juga terkenal dengan cuaca yang selalunya cerah dan terik. Keadaan cuaca yang lebih stabil dan tidak terlalu ekstrem ini menjadikan Semporna pilihan popular, kerana pelancong dapat menikmati pengalaman indah menginap di resort-resort menarik yang terletak di tengah Laut Sulu.
Terbaru Lebih lama