Muzium Lama di Semporna Terbakar

Sebuah bangunan yang dipercayai bekas muzium di pekan Semporna musnah sepenuhnya dalam kebakaran yang berlaku pada petang semalam. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Madzlan Sarman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.38 petang. 

Menurut beliau, seramai enam anggota dan pegawai bomba bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi bagi menjalankan operasi pemadaman.

“Setibanya di lokasi, kami mendapati sebuah bangunan tidak kekal yang dipercayai bekas muzium dan sudah tidak beroperasi telah terbakar serta musnah sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan media.

Madzlan berkata, tindakan segera diambil menggunakan bekalan air daripada jentera bomba bagi mengawal kebakaran dan mengelakkannya daripada merebak ke bangunan berhampiran.

Beliau turut mengesahkan bahawa kejadian itu hanya melibatkan kemusnahan bangunan dan harta benda memandangkan muzium berkenaan telah lama ditutup.

Pasukan bomba kemudiannya menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan api dipadamkan sepenuhnya serta kawasan kejadian selamat untuk orang awam sebelum operasi ditamatkan pada jam 4 petang.

Sementara itu, pihak bomba akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kebakaran serta menganggarkan jumlah kerugian yang dialami akibat insiden berkenaan.
Terbaru Lebih lama