Cham Chuan Kee - Kopitiam "Legend" di Semporna

Di tengah-tengah kesibukan pekan Semporna yang terkenal sebagai pintu masuk ke pulau-pulau cantik di pantai timur Sabah, masih berdiri sebuah kedai kopi lama yang menyimpan seribu satu cerita.

Kedai Kopi Cham Chuan Kee, atau lebih mesra dikenali oleh penduduk tempatan sebagai Kedai “Si Abun”, bukan sekadar tempat menjamu selera, tetapi juga sebahagian daripada sejarah dan warisan Semporna yang masih hidup hingga ke hari ini. 

Ditubuhkan sejak era 1940-an dan beroperasi sejak tahun 1950an, kopitiam ini telah melalui pelbagai perubahan zaman. Kini, legasi tersebut diteruskan oleh generasi keempat keluarga Lee, iaitu Lee Sui Kong bersama dua orang anaknya. Kesinambungan keluarga ini menjadikan Cham Chuan Kee antara kopitiam tertua dan paling ikonik di Semporna sehingga hari ini.


Apa yang membuatkan kedai ini begitu istimewa ialah keaslian yang masih dikekalkan. Walaupun bangunan asal pernah mengalami kebakaran dan dibina semula pada tahun 1950an, struktur serta identitinya masih dipelihara dengan baik. 

Sebaik sahaja melangkah masuk, pengunjung akan disambut dengan suasana klasik yang sukar ditemui di tempat lain. Dinding-dinding kedai dihiasi dengan gambar-gambar lama Semporna yang memaparkan wajah pekan tersebut suatu ketika dahulu. 

Ia seolah-olah membawa pelanggan mengembara kembali ke zaman British, ketika kehidupan bergerak lebih perlahan dan penuh kesederhanaan.

Bagi pencinta makanan tradisional, Cham Chuan Kee menawarkan pengalaman yang cukup istimewa. Menu paling terkenal di sini sudah tentu Roti Kahwin, iaitu gabungan roti bakar rangup yang disapu kaya dan mentega menggunakan resepi turun-temurun keluarga. 

Keunikan roti bakar di sini terletak pada cara penyediaannya yang masih menggunakan kaedah tradisional, dipanggang di atas api seperti zaman dahulu.
Terbaru Lebih lama