'Tanah Adat' di Semporna merujuk kepada tanah yang dimiliki, digunakan, atau diwarisi secara tradisi turun-temurun oleh komuniti tempatan khususnya masyarakat peribumi seperti Bajau sebelum adanya sistem pendaftaran tanah moden yang diperkenalkan oleh kerajaan.
Tanah ini diwarisi daripada nenek moyang tanpa dokumen rasmi pada awalnya. Ia diiktiraf melalui adat dan saksi komuniti setempat.
Tanah adat disebut dalam Ordinan Tanah Sabah 1930 (Sabah Land Ordinance Cap 68). Ada kategori khas dipanggil Native Title (NT) iaitu hak milik tanah yang hanya boleh dipunyai oleh penduduk asal (native).
Tanah jenis ini tidak boleh dijual sewenang-wenangnya, hanya boleh dipindahkan kepada orang yang juga diiktiraf sebagai “native of Sabah”. Ini bagi menjaga kepentingan masyarakat tempatan supaya tanah adat tidak hilang kepada pihak luar.
Di Semporna khususnya, ada juga tanah adat di kawasan pesisir dan pulau, kerana masyarakat Bajau & Suluk tradisionalnya tinggal berdekatan dekat laut.
Tanah-tanah tersebut memiliki geran, tuan tanah mempunyai hak mutlak terhadap sesebuah pulau jika keseluruhan tanah di atas pulau tersebut adalah hak miliknya dan ia sah dari segi undang-undang.
Untuk mudah difahami, bayangkan seorang individu mempunyai sebidang tanah yang luas di suatu kawasan (darat) dan ianya merupakan tanah yang telah diwarisi dari peninggalan orang tua terdahulu secara bergenerasi lamanya. Ada geran dan bukti menunjukkan pemilikan secara sah terhadap tanah tersebut.
Begitulah juga dengan kes yang berlaku terhadap tanah adat di sekitar pulau-pulau yang terdapat di Semporna, bezanya tanah tersebut bukan terletak di tanah besar Semporna melainkan di pulau-pulau tersebut yang memang telah berpenghuni sebelum British tiba, mahupun sebelum pembentukan Sabah itu sendiri.
Secara ringkasnya, tanah adat di Semporna ialah tanah warisan orang asal yang dijaga oleh undang-undang supaya ia kekal untuk masyarakat tempatan. (Kalau di Semenanjung Malaysia ia serupa seakan Tanah Rizab Melayu).