Apabila berbicara tentang budaya masyarakat di pantai timur Sabah, khususnya dalam kalangan komuniti Bajau dan Suluk, terdapat satu tradisi yang sering menarik perhatian pelancong dan pengunjung.
Ketika alunan muzik tradisional bergema dan para penari mempersembahkan gerak tari “Igal” iaitu tarian tradisi masyarakat bajau atau “Pangalay” seni tari tradisional masyarakat suluk di Sabah dengan penuh kelembutan, para tetamu akan mula menghampiri mereka lalu menyelitkan wang kertas di celah jari penari.
Bagi mereka yang pertama kali menyaksikan adat ini, mungkin akan timbul persoalan, “Mengapa wang diselit pada jari penari? Adakah ia sekadar pemberian tip?”
Hakikatnya, tradisi ini jauh lebih bermakna daripada sekadar memberikan wang. Ia sebenarnya merupakan satu bentuk penghormatan yang telah diwarisi sejak turun-temurun dan masih dipelihara sehingga hari ini.
📷 Sumber Google
Ia dikenali sebagai “Sabod” dalam bahasa bajau atau “Panji” dalam bahasa suluk iaitu satu tingkah laku pemberian wang sebagai sebuah tanda hormat kepada penari yang menghiburkan tetamu. Bukan untuk memberi upah, tetapi diberi sebagai tanda terima kasih. Jumlah wang yang diberikan juga mengikut kemampuan dan keikhlasan penonton.
Dalam masyarakat tempatan, menyelit wang kepada penari merupakan tanda penghargaan terhadap usaha, kemahiran dan dedikasi mereka dalam menghidupkan suasana majlis. Setiap gerakan tari yang dipersembahkan bukan sahaja memerlukan latihan dan ketelitian, malah mencerminkan keindahan warisan budaya yang diwariskan oleh nenek moyang.
Melalui pemberian tersebut, penonton menyatakan bahawa mereka benar-benar menghargai persembahan yang sedang berlangsung. Ia boleh diibaratkan seperti memberi tip kepada pemuzik atau artis jalanan di negara lain, namun dilakukan mengikut adat dan budaya masyarakat Sabah.
Ada juga segelintir orang yang menyebut adat ini sebagai “Panji Sabod” atau “Panjian Savod”. Istilah ini lazim digunakan oleh individu yang berasal daripada susur galur keluarga hasil perkahwinan campur antara masyarakat Suluk dan Bajau.
Murah Rezeki & Restu
Pemberian wang ini juga turut membawa makna simbolik. Ia dianggap sebagai doa dan harapan agar penari, tuan rumah serta mereka yang diraikan sentiasa dilimpahi rezeki, keberkatan dan kesejahteraan.
Oleh sebab itu, nilai wang yang diberikan bukanlah perkara utama. Sama ada sedikit atau banyak, yang lebih penting ialah keikhlasan hati ketika memberikannya. Tradisi ini juga menjadi sebahagian daripada kemeriahan sesuatu majlis, terutamanya ketika perkahwinan, kenduri kesyukuran atau sambutan kebudayaan.
Apabila tetamu menghampiri penari untuk menyelitkan wang, suasana menjadi lebih mesra dan interaktif. Penari pula akan terus menari dengan penuh anggun tanpa menghentikan persembahan, menjadikan keseluruhan majlis lebih hidup dan bermakna.
Tidak hairanlah sampai satu masa kita juga akan dapat melihat pasangan pengantin akan diminta untuk “mengigal” atau “mengalay”, lalu para tetamu yang datang ke majlis akan mula burduyun-duyun menyelitkan duit ke celah jari kedua mempelai sebagai tanda dimurahkan rezeki dan mendapat restu daripada ahli keluarga dan semua orang yang hadir di majlis perkhawinan. Ada juga antara mereka yang mula menaburkan duit di atas kepala jika jumlah duit yang diberi dalam kuantiti yang banyak.
Warisan yang Wajar Difahami
Bagi pelancong yang berkunjung ke Sabah, menyaksikan tradisi ini mungkin memberikan pengalaman budaya yang unik dan berbeza. Namun, penting untuk memahami bahawa amalan menyelit wang di jari penari bukan bertujuan membeli atau merendahkan martabat penari.
Sebaliknya, ia merupakan lambang penghormatan, penghargaan dan sokongan terhadap seni persembahan serta budaya masyarakat setempat. Di sebalik setiap helaian wang yang diselit, tersimpan nilai murni tentang rasa hormat, semangat kebersamaan dan penghargaan terhadap warisan yang telah diwariskan dari satu generasi ke generasi berikutnya.
Tradisi seperti inilah yang menjadikan Sabah bukan sahaja kaya dengan keindahan alam semula jadi, malah turut memiliki khazanah budaya yang unik, penuh makna dan wajar terus dipelihara sebagai identiti masyarakatnya.
Kalau ingin merasa sendiri bagaimana cara untuk letakkan duit di celah jari penari bolehlah ikut cara dan langkah seperti di bawah …
Cara Untuk Letak Duit
Untuk melakukan “Sabod” ini sebenarnya mempunyai cara dan adab, bukan sesuka hati memandangkan tujuan meletakkan duit di celah jari penari adalah melambangkan satu penghormatan dan sokongan, berikut beberapa tips untuk anda yang ingin mencuba…
- Pertama pastikan anda mendapat perhatian penari atau tunggu ketika mereka menghampiri tetamu.
- Kedua lipat wang dengan kemas (tidak perlu terlalu kecil) (tidak wajib lipat pun tidak mengapa).
- Kemudian datang hampiri penari (1 orang atau lebih boleh pilih atau semua sekali) kemudian selitkan wang ke jari penari. Boleh juga selit wang di pada bahagian pakaian yang sesuai, seperti samping, selendang, tali pinggang atau aksesori pakaian yang memang digunakan untuk menerima sabod.
- Lakukan dengan lembut dan penuh hormat. Elakkan menyentuh bahagian badan penari.
- Jika tidak selesa menyelit sendiri, anda boleh menyerahkan wang kepada ahli keluarga, pengacara atau wakil yang menguruskan persembahan untuk diselitkan bagi pihak anda.
Bagi masyarakat etnik bajau “Sabod” selalunya akan diselitkan di jari penari, namun bagi masyarakat etnik suluk “Panji” selain diletak antara jari-jemari penari ia juga boleh diletakkan di tempat lain seperti sekitar pakaian seperti poket, samping, selendang, dan tali pinggang.

