Tahukah anda bahawa di dalam kawasan Dragon Inn Floating Resort, Semporna terdapat sebuah pulau kecil yang cukup unik dan menjadi tarikan ramai pengunjung ?
Tidak perlu menaiki bot atau perahu untuk sampai ke sini. Berbeza dengan kebanyakan tarikan pulau di Semporna yang memerlukan perjalanan menaiki bot, Pulau Penyu di Dragon Inn Floating Resort boleh dikunjungi dengan hanya berjalan kaki.
Walaupun Dragon Inn merupakan sebuah resort terapung yang dibina di atas permukaan laut, lokasinya sebenarnya bersambung terus dengan daratan Pekan Semporna. Oleh kerana itu para pengunjung hanya perlu menyusuri laluan pejalan kaki kayu atau “boardwalk” yang berbumbung, sambil menikmati pemandangan laut dan deretan chalet terapung di kiri dan kanan.
Pulau ini dikenali dan mendapat akan namanya sebagai Pulau Penyu, bukan kerana menjadi habitat penyu, tetapi kerana apabila dilihat bentuknya yang seakan menyerupai cengkerang penyu yang timbul di permukaan laut.
Walaupun saiznya sangat kecil dan hanya mampu memuatkan beberapa orang pada satu-satu masa, Pulau Penyu tetap menjadi antara lokasi yang wajib dikunjungi oleh mereka yang singgah ke Dragon Inn. Keunikannya yang dikelilingi laut menjadikan suasananya tenang dan sangat sesuai untuk berehat seketika sambil menikmati bayu laut.
Bagi memasuki kawasan ini, pengunjung hanya dikenakan bayaran RM2 seorang, manakala kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah adalah percuma. Demi menjaga kebersihan dan kesejahteraan hidupan laut, pengunjung tidak dibenarkan membawa masuk makanan serta dilarang memberi makanan kepada ikan atau hidupan laut yang terdapat di kawasan tersebut.
Apa yang menarik sebenarnya di sini ?
Pulau Penyu merupakan lokasi yang terkenal sebagai tempat untuk merakam gambar kenangan, sama ada berswafoto (selfie), wefie bersama keluarga, rakan-rakan mahupun bersama pasangan, latar belakang laut biru dan rumah-rumah resort terapung pasti menghasilkan gambar yang cantik dan Instagram-worthy.
Selain itu, di sekitar Pulau Penyu juga terdapat beberapa sangkar ikan yang menempatkan pelbagai spesies ikan bersaiz besar. Melihat ikan-ikan gergasi berenang dari dekat pasti menjadi pengalaman yang menarik, terutamanya bagi kanak-kanak dan pencinta hidupan marin.
Di sini juga ramai pengunjung yang datang untuk duduk santai sambil menghayati suasana pemandangan laut yang terbentang luas. Suasana laut memang terasa segar dan tenang, apabila angin laut menyapa kulit pipi kita, memandangkan kedudukan pulau ini memang terletak di atas air laut.
Paling menarik, di sini juga adalah lokasi paling sesuai untuk melihat matahari terbenam di Semporna, dan melihat kedudukan sebuah pulau yang dikenali Pulau Lelaki Tua Yang Sedang Tidur.
Menurut cerita penduduk setempat, suatu ketika dahulu pernah ada seekor penyu yang tersesat naik ke kawasan ini untuk cuba bertelur. Selain itu, terdapat juga kisah mengenai seekor penyu berwarna putih yang sering kelihatan berenang berhampiran kawasan Pulau Penyu, mungkin disebabkan itu juga pulau ini mendapat akan namanya.
Jika anda tidak berkesempatan menyertai pakej island hopping ke pulau-pulau terkenal di sekitar Semporna seperti Sipadan, Bohey Dulang atau Mataking, jangan risau. Terdapat banyak tempat menarik di sekitar Semporna yang tidak perlu ke pulau sebenarnya yang ramai orang kurang tahu seperti Muzium Tun Sakaran, Bukit Tengkorak & lain-lain lagi.
Pulau Penyu di Dragon Inn boleh menjadi alternatif yang menarik untuk anda menikmati suasana laut Semporna, bergambar dengan pemandangan yang cantik dan mengubat rasa kempunan untuk merasai keindahan destinasi pulau-pulau pelancongan di sekitar Semporna.
Walaupun kecil, Pulau Penyu membuktikan bahawa sesuatu tarikan tidak semestinya perlu besar untuk meninggalkan kenangan yang indah. Dengan suasana yang tenang, pemandangan laut yang memukau, Pulau Penyu sememangnya antara tempat tersembunyi yang wajar dikunjungi apabila anda berada Semporna.