'Pu' Mattoa Lalla Atoli' Kisah Kasih Sayang Tiga Beranak

Di ufuk Laut Sulawesi yang membiru, tidak jauh dari pesisir pekan Semporna, Sabah, terbentang sebuah gugusan pulau yang menyimpan kisah lama penuh misteri dan legenda. Dari kejauhan, bentuknya seakan-akan seorang lelaki tua sedang berbaring lena di tengah lautan. 

Masyarakat Bajau Semporna menamakannya sebagai “Pu’ Mattoa Lalla Atoli” yang bermaksud Lelaki Tua Yang Sedang Tidur”, manakala pelaut dan pelancong luar mengenalinya sebagai “The Sleeping Old Man”.

Pulau ini bukan sekadar gugusan batu dan tanah yang muncul sejak jutaan tahun dahulu, tetapi menyimpan sebuah cerita yang berkait dengan lambang cinta sejati sebuah keluarga yang enggan dipisahkan oleh masa dan kematian.

Salah satu kisah yang paling menarik berkaitan ialah legenda tentang Tetangan, Gaya dan anak tunggal mereka, Bohay Dulang. Kisah ini dikatakan telah diceritakan secara lisan oleh penduduk setempat sejak zaman dulu lagi dan disampaikan secara turun temurun.


Menurut cerita lisan yang diwariskan oleh penduduk setempat, pasangan suami isteri bernama Tetangan dan Gaya sangat menyayangi anak tunggal mereka iaitu Bohay Dulang. Kasih sayang mereka terhadap anak itu dikatakan begitu mendalam sehingga mereka tidak sanggup membayangkan perpisahan, walaupun menyedari bahawa kehidupan setiap manusia akhirnya pasti berakhir dengan kematian.

Apabila usia Tetangan dan Gaya semakin meniti senja, mereka mula memikirkan masa depan Bohay Dulang. Mereka bimbang tiada siapa yang akan menjaganya apabila mereka sudah tiada kelak. Pada ketika itu, Bohay Dulang dikatakan baru berusia sekitar 18 tahun dan masih belum mendirikan rumah tangga.

Pelbagai ikhtiar dilakukan oleh kedua-dua ibu bapanya. Antara usaha mereka adalah cuba mencari pasangan untuk dikahwinkan dengan Bohay Dulang. Namun, cadangan itu ditolak oleh anak mereka.

Bohay Dulang dikatakan mempunyai paras rupa yang menawan sehingga menjadi perhatian dan kegilaan ramai wanita. Namun, hati anak muda itu hanya tertumpu kepada ibu dan bapanya. Dia tidak mahu berkahwin kerana merasakan bahawa perkahwinan akan menyebabkan kasih sayangnya terhadap ibu bapa perlu dikongsi dengan orang lain.



Baginya, kasih sayang seorang anak kepada ibu bapanya tidak seharusnya dibahagikan. Dia juga bimbang sekiranya berkahwin, dia terpaksa meninggalkan ibu dan bapanya untuk membina kehidupan baharu bersama pasangan.

Hari demi hari berlalu, ketiga-tiga mereka terus memikirkan jalan terbaik agar dapat kekal bersama selama-lamanya. Namun, satu perkara tetap menjadi pantang larang yang tidak sanggup mereka langgar iaitu membunuh diri.

Pada ketika itu, menurut kisah yang diceritakan, Islam masih belum sampai ke kawasan yang kini dikenali sebagai Semporna. Masyarakat setempat masih kuat berpegang kepada kepercayaan animisme serta adat dan pantang larang nenek moyang.

Tetangan dan Gaya sendiri dikatakan telah menunggu selama sepuluh tahun selepas berkahwin sebelum dikurniakan cahaya mata. Oleh sebab itu, Bohay Dulang menjadi anak yang amat berharga dalam kehidupan mereka. Mereka mahu hidup selama mungkin untuk membesarkannya, melihatnya dewasa dan menyaksikan perjalanan hidup anak kesayangan mereka.

Akhirnya, Tetangan dan Gaya mengambil keputusan untuk menemui seorang bomoh. Mereka dikatakan meminta bantuan supaya ketiga-tiga mereka dapat diubah menjadi pulau, agar tidak perlu berpisah antara satu sama lain.

Namun, semakin usia mereka meningkat, semakin kuat kebimbangan terhadap perpisahan yang bakal tiba.

Akhirnya, Tetangan dan Gaya mengambil keputusan untuk menemui seorang bomoh. Mereka dikatakan meminta bantuan supaya ketiga-tiga mereka dapat diubah menjadi pulau, agar tidak perlu berpisah antara satu sama lain.

Sebelum perubahan itu berlaku, Tetangan dan Gaya menyerahkan segala harta yang mereka miliki kepada Bohay Dulang. Harta tersebut diberikan sebagai tanda kasih sayang terakhir kepada anak mereka, di samping menjadi bekalan untuk meneruskan kehidupannya tanpa mereka.

Mereka juga dikatakan berharap agar Bohay Dulang menjadi seorang yang dikenali dan mempunyai masa depan yang baik. Menurut kepercayaan yang diwariskan melalui cerita tersebut, akhirnya ketiga-tiga mereka pun bertukar menjadi pulau.

Hari ini kita akan dapat melihat ketiga-tiga pulau tersebut iaiti Pulau Tetagan, Gaya dan Bohey Dulang yang berada didalam Taman Marin Tun Sakaran berada berdekatan membentuk rupa seakan lelaki tua yang sedang tidur jika dilihat dari sekitar Pekan Semporna



Antara ketiga-tiga pulau tersebut, Pulau Bohay Dulang dikatakan mempunyai keistimewaan tersendiri, bukan sahaja melalui pemandangan indah dari daratan, malah melalui keindahan dasar laut di sekelilingnya. Mungkin juga kerana ibubapa Bohay Dulang sebelum ini telah menyerahkan semua harta kepadanya.

Hari ini, kawasan tersebut menjadi antara tarikan yang menarik perhatian pelancong yang datang ke Semporna.

Kisah “Pu' Mattoa Lalla Atoli” dipercayai merupakan sebuah mitos yang disampaikan secara lisan oleh penglipur lara dan ia bukanlah catatan sejarah yang dapat dibuktikan, sebaliknya sebuah legenda yang diwariskan dari satu generasi kepada satu generasi.

Kini, cerita tersebut semakin jarang didengar. Namun, selagi kisahnya masih diceritakan, Tetangan, Gaya dan Bohay Dulang akan terus hidup dalam ingatan masyarakat  bukan sebagai manusia yang dapat ditemui, tetapi sebagai sebahagian daripada legenda yang dikaitkan dengan keindahan Pulau Bohay Dulang.
Terbaru Lebih lama