Status Pembinaan Jambatan Ke Pulau Bum Bum Semporna

Pulau Bum-Bum, adalah pulau terbesar di daerah Semporna, Sabah yang sekian lama dikaitkan dengan cadangan pembinaan jambatan yang bakal menghubungkan pulau tersebut dengan tanah besar Semporna, khususnya di kawasan Jeti Balembang.

Cadangan pembinaan jambatan ini bukanlah perkara baharu. Sejak tahun 2012, projek berkenaan telah beberapa kali menjadi perhatian umum dan dibangkitkan dalam pelbagai era pentadbiran kerajaan. Namun, sehingga kini, jambatan yang dinanti-nantikan oleh penduduk Pulau Bum-Bum masih belum menjadi kenyataan.

Kepentingan jambatan ini bukan sekadar memudahkan pergerakan penduduk, malah berpotensi merancakkan ekonomi setempat, memperkukuh sektor pelancongan, melancarkan pengangkutan barangan dan logistik serta memudahkan akses kepada kemudahan asas seperti bekalan air, pendidikan dan perkhidmatan kesihatan.


Pada Februari 2012, kerajaan Persekutuan dilaporkan meluluskan peruntukan awal sebanyak RM25 juta, dengan jumlah keseluruhan projek yang dicadangkan bernilai RM430 juta, bagi pembinaan jambatan sepanjang kira-kira 1.4 kilometer itu.

Bagaimanapun, projek tersebut tidak diteruskan seperti yang diharapkan. Pada 2 April 2014, Kementerian Kerja Raya Malaysia memutuskan untuk membatalkan pelaksanaan projek berkenaan.

Pada tahun 2018, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, turut menyuarakan hasrat untuk menghidupkan semula cadangan pembinaan jambatan tersebut. Walau bagaimanapun, pembinaan jambatan itu masih belum direalisasikan.

Perkembangan penting berhubung status projek ini dapat dilihat melalui sepucuk surat rasmi daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah bertarikh 20 Februari 2024, yang ditujukan kepada Datuk Haji Abd Hajan bin Haji Gurimbang, Ketua Bahagian Sulabayan, Parti Gagasan Rakyat Sabah.


Surat tersebut merupakan maklum balas terhadap pertanyaan terdahulu mengenai status perkembangan cadangan pembinaan Jambatan Pulau Bum-Bum, Semporna. Dalam surat berkenaan, JKR memaklumkan bahawa:

“Kementerian Kerja Raya Malaysia telah memutuskan untuk membatalkan pelaksanaan projek ini pada 02 April 2014.”

Kenyataan ini mengesahkan bahawa pelaksanaan projek tersebut telah dibatalkan oleh Kementerian Kerja Raya pada tahun 2014.

Surat bertarikh 20 Februari 2024 itu bukanlah surat pembatalan baharu pada tahun 2024, sebaliknya merupakan maklum balas rasmi JKR yang mengesahkan keputusan pembatalan yang telah dibuat pada 2 April 2014.
Terbaru Lebih lama