Maaf, Sedang Dikemaskini Terdapat Beberapa Artikel Yang Mengalami Masaalah Teknikal

Harap Maklum....

Resort Jenama Antarabangsa Bakal Ubah Landskap Pelancongan di Semporna


Daerah Semporna bakal melakar sejarah baharu dalam landskap pelancongan apabila projek Semporna Resort yang dibangunkan oleh Goldstone Holding Sdn Bhd dengan kerjasama Sabah Urban Development Corporation (SUDC) kini giat dilaksanakan.

Bagi fasa pertama, resort bertaraf lima bintang ini menampilkan 188 bilik atas air lengkap dengan pelbagai kemudahan moden, termasuk pusat rekreasi, restoran antarabangsa, dewan serbaguna serta fasiliti riadah eksklusif untuk pelancong tempatan dan antarabangsa.

Pembangunan seterusnya, iaitu fasa kedua dan berikutnya, akan dibangunkan secara berperingkat di atas tapak tanah SUDC seluas 41 ekar. Setakat ini, projek berimpak tinggi ini sudah mencapai 35 peratus tahap siap dan terus menjadi tumpuan kerana potensinya untuk mengubah wajah Semporna sebagai destinasi pelancongan premium di rantau Asia Tenggara.


Menariknya, projek ini bukan sahaja menjanjikan kemewahan kepada pelancong, malah turut memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat. 

Sehingga kini, seramai 18 anak muda Semporna telah diambil bekerja sebagai jurutera serta mengisi pelbagai jawatan teknikal. Apabila siap sepenuhnya kelak, resort ini dijangka membuka ratusan peluang pekerjaan baharu dalam bidang perhotelan, hospitaliti, pengurusan acara, serta perkhidmatan pelancongan.

Projek yang disenaraikan sebagai salah satu projek berimpak tinggi ini dijangka siap sepenuhnya menjelang Ogos 2026. 

Dengan kedudukan strategiknya di Semporna yang terkenal sebagai pintu masuk ke destinasi menyelam bertaraf dunia seperti Pulau Sipadan, Mabul dan Kapalai, pembangunan mega ini diyakini akan melonjakkan lagi imej Sabah sebagai destinasi pelancongan antarabangsa unggul.


Ini membuktikan bahawa Semporna kini semakin menonjol di mata dunia sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa. Namun, dalam kegembiraan meraikan pencapaian ini, kita tidak boleh melupakan asas yang paling penting kemudahan infrastruktur untuk kesejahteraan penduduk dan pelancong.

Kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air bersih, elektrik, serta sistem pelupusan sampah perlu ditingkatkan seiring dengan pesatnya perkembangan industri pelancongan. Hal ini penting kerana Semporna bukan sahaja menerima kunjungan rakyat tempatan, tetapi juga menjadi tumpuan pelancong dari serata dunia.

Kita tidak mahu imej negara dan daerah kita yang tercinta tercalar hanya kerana kelemahan dalam pengurusan asas. 

Jika Semporna mahu terus berdiri megah sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia, maka usaha memperkukuh dan menyelenggara kemudahan asas mesti diberi keutamaan.

🔖 Baca Selanjutnya 

Post a Comment

Terbaru Lebih lama