Usaha pantas pasukan pemuliharaan marin yang diterajui komuniti berjaya menyelamatkan ekosistem terumbu karang di Semporna apabila lebih 1,300 ekor sulaiman mahkota berduri (Crown-of-Thorns Starfish, COTs) berjaya dihapuskan dalam operasi khas di sekitar Pulau Tabawan dan Pulau Adal pada 1 dan 2 Jun lalu.
Operasi yang diselaraskan oleh Reef Check Malaysia itu dilaksanakan susulan laporan mengenai penularan spesies pemangsa karang berbahaya yang boleh memusnahkan terumbu karang dalam masa singkat jika tidak dikawal.
Menurut Reef Check Malaysia, pemerhatian sepanjang operasi mendapati kebanyakan sulaiman mahkota berduri di Pulau Tabawan ditemui pada kedalaman antara 18 hingga 20 meter, dipercayai akibat kawasan terumbu cetek yang telah terjejas teruk oleh penularan sebelum ini.
Sebaliknya di Pulau Adal, majoriti spesies pemangsa itu ditemui pada kedalaman antara satu hingga 10 meter, iaitu kawasan yang masih mempunyai terumbu karang sihat tetapi berisiko tinggi menjadi sasaran pemangsaan.
Walaupun ancaman COTs berjaya dikawal, pasukan pemuliharaan turut menemui dan mengeluarkan beberapa "pukat hantu" yang terperangkap di kawasan terumbu, sekali gus membuktikan ekosistem marin di kawasan berkenaan masih berdepan tekanan daripada sisa dan pencemaran laut.
Dalam perkembangan positif, tahap pemutihan karang di kedua-dua lokasi masih direkodkan pada kadar rendah iaitu kurang daripada 10 peratus, memberi harapan bahawa terumbu karang di kawasan itu masih berada dalam keadaan
Pengurus Program Kanan Reef Check Malaysia (Sabah), Adzmin Fatta, berkata penglibatan komuniti setempat merupakan benteng pertama dalam usaha melindungi ekosistem marin Sabah
"Pemuliharaan yang diterajui komuniti terbukti menjadi antara kaedah paling berkesan untuk bertindak balas secara pantas terhadap ancaman terumbu karang. Namun, usaha ini memerlukan pemantauan berterusan kerana ancaman boleh berulang pada bila-bila masa," katanya.
Beliau turut menegaskan kawasan seperti Tabawan, Silumpat, Bakungan dan Adal perlu diberi perhatian khusus kerana berpotensi mengalami penularan berulang.
Penyelam komuniti menunjukkan tapak sulaiman duri yang berjaya disingkirkan dalam operasi pemuliharaan terumbu karang di perairan Semporna.
Sementara itu, penyelam Kumpulan Pemuliharaan Marin Kunak-Darvel, Mohd Zaidi Morphy, berkata komuniti pesisir memainkan peranan penting dalam mengesan ancaman lebih awal sebelum ia menjadi krisis yang lebih besar.
"Kami berada di laut hampir setiap hari. Keadaan ini membolehkan kami mengenal pasti ancaman lebih awal dan mengambil tindakan segera untuk melindungi sumber marin yang menjadi nadi kehidupan masyarakat setempat," katanya.
Terumbu karang yang sihat bukan sahaja menjadi habitat kepada ribuan spesies hidupan laut, malah merupakan aset penting kepada sektor perikanan, pelancongan dan perlindungan pantai. Justeru, kerjasama antara komuniti, penyelam, pengusaha pelancongan dan agensi pemuliharaan amat penting bagi memastikan khazanah laut Sabah terus terpelihara untuk generasi akan datang.


