Setelah sekian lama menaruh harapan terhadap pembinaan Jambatan Pulau Bum-Bum yang masih belum menjadi kenyataan, akhirnya penduduk pulau terbesar di daerah Semporna itu menerima sinar baharu dengan kewujudan perkhidmatan feri yang bakal menghubungkan Pulau Bum-Bum dengan tanah besar Semporna.
Walaupun perkhidmatan feri ini bukanlah pengganti kepada projek jambatan yang telah lama dinantikan itu, ia merupakan satu alternatif sementara yang dijangka mampu memberi impak besar terhadap kehidupan seharian lebih 30,000 penduduk Pulau Bum-Bum.
Selama lebih empat dekad, hubungan antara Pulau Bum-Bum dan pekan Semporna hanya bergantung kepada perkhidmatan bot penambang yang beroperasi melalui Jambatan Balimbang dan Jeti Tongkalloh. Kaedah pengangkutan yang digunakan sejak era 1980-an itu masih kekal sehingga hari ini, meskipun jumlah penduduk dan keperluan ekonomi terus meningkat dari tahun ke tahun.
Kewujudan perkhidmatan feri ini bakal membuka lembaran baharu dalam sistem pengangkutan di daerah Semporna. Selain memudahkan penduduk berulang-alik ke tempat kerja, sekolah, hospital dan pusat urusan kerajaan, feri ini juga dijangka mempercepatkan penghantaran pelbagai keperluan harian seperti makanan, bahan binaan, bekalan perniagaan dan barangan lain antara tanah besar Semporna dengan Pulau Bum-Bum.
Usaha merealisasikan projek ini tidak datang dengan mudah. Di sebalik pelaksanaannya, terserlah komitmen dan kesungguhan Datuk Haji Abd Hajan Hj. Gurimbang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N64 Sulabayan merangkap Pengerusi PGRS Sulabayan, yang berusaha memastikan projek ini dapat direalisasikan walaupun berdepan pelbagai cabaran.
Kesungguhan beliau dalam mencari penyelesaian kepada masalah pengangkutan penduduk wajar diberikan penghargaan.
Pada peringkat awal, cadangan adalah menggunakan feri jenis Craft Tank yang mampu membawa sehingga lapan buah kenderaan sederhana, beberapa buah lori serta motosikal dalam satu-satu perjalanan.
Namun, selepas melalui proses penilaian dan mengambil kira keperluan operasi, projek ini telah dinaik taraf kepada feri jenis Drive-Through (Drive-Thru Ferry) yang lebih sesuai, praktikal dan efisien bagi kegunaan harian penduduk.
Difahamkan, feri tersebut telah pun tiba di perairan Semporna dan kini sedang melalui beberapa proses persediaan serta pemeriksaan teknikal sebelum dibenarkan beroperasi sepenuhnya.
Langkah ini penting bagi memastikan aspek keselamatan, keselesaan dan kelancaran operasi sentiasa berada pada tahap terbaik.
Perkhidmatan feri ini merupakan sebuah projek perintis yang dianggarkan bernilai sekitar RM5 juta dan dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk Pulau Bum-Bum.
Feri tersebut mampu membawa sehingga lapan buah kenderaan kecil dalam satu perjalanan, selain turut menampung motosikal dan beberapa buah lori yang membawa bekalan runcit serta barangan keperluan.
Mengikut perancangan awal, operasi feri akan bermula seawal jam 6.00 pagi hingga 6.00 petang, dengan kadar tambang sekitar RM30 bagi setiap kenderaan, sekali gus menyediakan pilihan pengangkutan yang lebih mudah, selamat dan sistematik kepada penduduk.
Bagi menyokong operasi ini, pembinaan jeti pendaratan (landing point) turut dirancang di kawasan MRI Tampi-Tampi (Timbayan) dan Kampung Terusan.
Infrastruktur ini akan menjadi laluan utama bagi pergerakan feri antara Pulau Bum-Bum dan tanah besar Semporna, sekali gus memperkukuhkan sistem logistik serta rangkaian pengangkutan di kawasan tersebut.
Untuk sementara waktu, perkhidmatan feri ini menggunakan feri jenis “Craft Tank” milik Tuan Haji Masmud, sementara menunggu peruntukan dan pembangunan infrastruktur yang lebih lengkap daripada pihak kerajaan.
Kewujudan feri ini diharapkan bukan sahaja mampu memudahkan urusan harian penduduk, malah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, perdagangan, pelancongan dan pembangunan sosial di Pulau Bum-Bum.
Dengan akses yang lebih mudah untuk membawa kenderaan dan barangan, kos logistik dijangka dapat dikurangkan, sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada masyarakat setempat.
Walaupun impian untuk melihat Jambatan Pulau Bum-Bum masih belum menjadi kenyataan, perkhidmatan feri ini membuktikan bahawa usaha mencari penyelesaian terhadap keperluan rakyat tidak pernah terhenti. Ia menjadi simbol harapan baharu buat penduduk Pulau Bum-Bum dan satu langkah penting ke arah pembangunan yang lebih mampan bagi daerah Semporna pada masa hadapan.