Maaf, Sedang Dikemaskini Terdapat Beberapa Artikel Yang Mengalami Masaalah Teknikal

Harap Maklum....

Sampah 8.8 Tan Berjaya Dikutip di Semporna


Ketika isu pencemaran sampah di Semporna tular hingga menjejaskan imej pelancongan daerah itu, sekumpulan anak muda tempatan membuktikan bahawa tindakan lebih bermakna daripada kata-kata. 

Dengan semangat sukarelawan yang luar biasa, kumpulan dikenali sebagai Skuad Anak Sabah telah berjaya mengutip sebanyak 8.8 tan sampah dalam satu program pembersihan besar-besaran di Padang Pekan Semporna dan Kampung Air, sekali gus mencipta sejarah baharu apabila usaha mereka diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai “Kutipan Sampah Terberat oleh Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di Malaysia.” 

Program bertemakan ‘Pembersihan Pantai Anak Sabah Semporna 2025’ itu disertai lebih 500 sukarelawan, termasuk penduduk setempat dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). 

Menurut Timbalan Presiden II Skuad Anak Sabah, Mazlan Mainan, inisiatif tersebut bukan sekadar aktiviti mengutip sampah, tetapi simbol kebersamaan dan semangat cinta terhadap bumi Sabah. 

Beliau menjelaskan bahawa kawasan Kampung Air merupakan penempatan utama masyarakat tempatan yang berdepan cabaran serius dalam pengurusan sisa harian.

Melalui program ini, kami mahu membantu menangani isu sampah secara bersepadu sambil memupuk kesedaran awam tentang tanggungjawab menjaga kebersihan alam sekitar 


jelasnya ketika ditemui selepas majlis pengiktirafan MBOR di Padang Pekan Semporna, semalam.



Mazlan turut menegaskan bahawa pencapaian itu menjadi penanda aras baharu bagi NGO di Sabah untuk terus aktif dalam usaha pemuliharaan alam sekitar, di samping memperkukuh semangat kesukarelawanan dalam kalangan generasi muda.


Rekod ini bukan milik Skuad Anak Sabah semata-mata, tetapi kejayaan seluruh rakyat Sabah yang sentiasa bersatu hati menjaga keindahan bumi kita


Ujarnya dengan penuh semangat. Majlis pengiktirafan tersebut turut dihadiri oleh wakil MBOR, Edwin Yeoh Tiong Chin, yang menyerahkan sijil rasmi kepada Skuad Anak Sabah sebagai pengiktirafan kepada kejayaan luar biasa itu.


Program ini turut mendapat sokongan padu daripada pelbagai organisasi tempatan termasuk Kumpulan Sawit Kinabalu, Grill Patio, K2 Water, Page Eight, HS Printing Solution dan Barber Addict, yang bersama-sama menjayakan misi kebersihan pantai tersebut.

Skuad Anak Sabah menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang tenaga dan sumber bagi menjayakan program berimpak tinggi ini, yang bukan sahaja membersihkan persekitaran, tetapi juga mengharumkan nama Sabah di persada kebangsaan.

Post a Comment

Terbaru Lebih lama