Kompleks Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Semporna ini merupakan fasiliti strategik yang bakal berperanan sebagai benteng hadapan kawalan maritim negara di perairan timur Sabah.
Majlis Penyerahan Separa Projek Siap Kompleks Zon Maritim Semporna yang berlangsung hari ini menandakan satu kejayaan penting dalam pembangunan infrastruktur keselamatan negara.
Upacara penyerahan disempurnakan antara Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku agensi pelaksana kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebagai pemilik projek, disaksikan oleh Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan.
Turut hadir menyaksikan majlis bersejarah itu ialah Ketua Setiausaha KDN, Datuk Dr. Awang Alik Jeman serta Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli Abdullah.
Terletak di lokasi strategik berhampiran perairan Filipina dan Indonesia, kompleks ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan utama termasuk bangunan pentadbiran, bangunan sokongan dan logistik, jeti operasi serta marina kapal dan bot Maritim Malaysia, helipad operasi udara, padang kawad, gelanggang sukan dan kuarters perumahan anggota.
Apabila siap sepenuhnya kelak, kompleks ini akan berfungsi sebagai pusat operasi dan rondaan utama Zon Maritim Semporna, di samping menjadi hab koordinasi keselamatan dan latihan bersama ESSCOM, PDRM dan TLDM.
Datuk Seri Saifuddin turut menambah bahawa kemudahan moden ini akan meningkatkan kecekapan tindak balas Maritim Malaysia terhadap sebarang ancaman maritim serta memperkukuh kehadiran aset dan moral anggota di lapangan.
Majlis penyerahan hari ini sekali lagi menzahirkan komitmen padu Kerajaan dalam memperkukuh infrastruktur keselamatan negara, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan usaha berterusan bagi memastikan negara aman, selamat dan berdaulat.


