Pasar Lepa Semporna Berwajah Baru

Pasar Lepa Semporna kini tampil dengan wajah baharu selepas kerja baik pulih dan naik taraf siap dilaksanakan sepenuhnya di tapak asalnya.

Projek di bawah Kerajaan Persekutuan ini dilaksanakan melalui perancangan Menaiktaraf Gerai Sedco Majlis Daerah Semporna (MD Semporna) dengan matlamat memperkukuh prasarana serta meningkatkan kualiti persekitaran pasar ini. 

Usaha ini diharap mampu menaikkan imej Pasar Lepa sebagai sebuah mercu baharu serta menyuntik ekonomi dan pelancongan di sekitar pekan Semporna.



Sebelum ini, bangunan yang dikenali sebagai Pasar Lepa Semporna ini telah dibina untuk sekian lama bagi menyediakan gerai-gerai mini dan tapak untuk para peniaga kecil-kecilan. 

Penduduk tempatan mengenali kawasan ini dengan deretan gerai makanan yang murah, kedai gunting rambut, serta lokasi legenda Mee Lohok Uncle Tham yang menjadi kegemaran ramai selain satu-satunya kawasan mempunyai perkhidmatan tandas awam di tengah pekan Semporna.

Dahulu, kawasan persekitarannya agak tidak teratur dan tersusun, ditambah lagi dengan keadaan bangunan yang telah lama dan usang.



Cadangan penambahbaikan adalah merangkumi naik taraf struktur bumbung dan lantai, penyediaan ruang jualan lebih tersusun, penambahan kemudahan awam seperti tandas dan tempat parkir, serta memperkenalkan konsep “Pasar Lepa Baharu” yang menggabungkan elemen moden dengan seni bina tradisional Bajau.

Walaupun reka bentuk asal yang menampilkan elemen seni bina ‘Lepa’, simbol kebanggaan masyarakat penduduk di Semporna, tidak lagi dikekalkan sepenuhnya, konsep moden yang diterapkan kini memberi sentuhan segar.

Kini selepas dinaik taraf, suasananya kini berubah dengan penampilan lebih tersusun, bersih dan selesa membawa nafas baharu kepada penduduk serta pengunjung yang menantikan pembukaannya semula.

Lokasinya yang strategik di tengah pekan lama Semporna, pasar ini berpotensi menjadi tumpuan utama pengunjung dan pelancong jika diurus dengan baik.
Terbaru Lebih lama